Budi pekerti membawa kebahagiaan

Maksud firman Allah s.w.t:

"Dan sesungguhnya kamu (Nabi Muhammad s.a.w) benar-benar di atas budi pekerti yang agung". (Surah al-qalam : 4)

Begitulah pengiktirafan yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada Nabi junjungan yang mulia. Maka seharusnya, kita mencedok pengajaran daripada sejarah hidup baginda serta mempratikkan akhlak yang baik. Ini bersesuaian dengan maksud firman Allah s.w.t.

"Sesungguhnya di dalam diri Rasulullah s.a.w. contoh yang terbaik bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan hari akhirat". (Surah al-ahzab : 21)

Ini dikuatkan lagi dengan pengakuan Saydatina Aisyah r.a. ketika menjelaskan tentang sifat baginda Rasulullah s.a.w yang sinonim dengan Al-quran.

Terdapat banyak kemuliaan budi pekerti yang dipaparkan oleh baginda dan di antaranya ialah: Memelihara hubungan sesama manusia melalui interaksi yang baik. Ini dapat dilakukan semudah dengan menebar senyuman, menghulur salam dan mengucapkan kata-kata yang baik. Lanjutan daripada itu, kita juga diajak untuk meringankan beban orang yang menderita, memberi makan orang yang kelaparan, menziarah orang yang sakit, menolong orang yang dizalimi dan membantu orang yang ditimpa musibah.

Perbuatan baik akan menghasilkan ketenangan jiwa terutama pada pelakunya. Kebaikan ibarat wangian yang tidak hanya memberi kesan yang mengharum bagi pemakainya, bahkan juga orang di sekeliling.

Di samping manfaat emosi dan sosial, Rasulullah s.a.w juga menjanjikan ganjaran, yang dinyatakan melalui maksud sebuah hadith:

"Tidakkah pernah aku memberitahu kamu siapa yang dekat tempat duduknya denganku pada hari qiamat nanti? Mereka ialah yang paling baik akhlak dan prilakunya".

Oleh itu, marilah sama-sama kita merebut peluang ini agar menjadi umat baginda saw yang sentiasa menghias diri dengan akhlak terpuji.

Ingatlah bahawa naluri gemar berbuat baik merupakan nikmat Allah s.w.t. Ia juga dianggap sebagai suatu bentuk penyebaran nilai-nilai mulia yang menggambarkan risalah Rasulullah s.a.w.

Semoga Allah s.w.t memberi kita kemudahan untuk konsisten dalam kebaikan.

kredit: Adlliyash

No comments: